Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) yang menanggung beban
akibat tragedi MH370 kini berdepan masalah dalaman serius apabila hampir 300
kru kabinnya meletak jawatan menyebabkan syarikat kerugian dari segi kos
latihan mencecah RM30 juta dalam tempoh dua tahun.
Faktor tekanan kerja, selain ‘dipancing’ syarikat
penerbangan lain antara yang mendorong kira-kira 120 juruteknik pesawat,
jurutera (40), pramugari dan pramugara (80) dan 30 juruterbang menamatkan
perkhidmatan mereka di syarikat berkenaan.
Kebiasaannya, tindakan meletak jawatan itu berlaku
apabila kru kabin selesai menjalani latihan yang dibiayai sepenuhnya syarikat
yang dikatakan semakin kurang memberi tumpuan terhadap kebajikan kakitangan
sejak tiga tahun lalu.
Sumber daripada mStar Online, sudah beberapa tahun
syarikat gagal memberi bonus, keistimewaan kakitangan mendapat tiket
penerbangan untuk bercuti bersama keluarga juga terhapus, selain beban tugas
yang meningkat kerana kekurangan kakitangan.
“Pelbagai faktor ini menyebabkan kakitangan semakin tidak
bersemangat untuk terus berkhidmat dengan syarikat hingga sejumlah besarnya
berhenti tanpa mengambil kira sumbangan syarikat yang membiayai sepenuhnya
latihan bagi mendapat tauliah Jabatan Penerbangan Awam (DCA).
“Setiap kali kakitangan terbabit akan menamatkan latihan,
sudah ada tawaran kerja daripada syarikat penerbangan lain dengan kadar gaji
lebih tinggi, ia seolah-olah ada sindiket yang memerhati setiap kakitangan MAS
dan menunggu masa sesuai untuk ‘memancing’ mereka,” katanya ketika dihubungi
mStar Online.
Maklumat yang diperoleh menunjukkan MAS memperuntukan
sejumlah dana yang besar untuk program latihan kakitangannya iaitu RM200,000
untuk setiap juruterbang MAS yang wajib menjalani latihan selama dua tahun dan
RM190,000 pula kos bagi melatih jurutera penerbangan untuk tempoh latihan lima
tahun.
Selain itu, kos latihan selama dua tahun untuk setiap
juruteknik pula sebanyak RM75,000, manakala bagi pramugari dan pramugara pula
tempoh latihan sepanjang empat bulan membabitkan perbelanjaan RM50,000 seorang.
HOT!!! (HOTLINK) DAPATKAN LEBIH SMS, PANGGILAN DAN DATA INTERNET APABILA ANDA MELANGGAN HOTLINK HOT TIKET EKSTRA
-------- KLIK DISINI --------
-------- KLIK DISINI --------
Sumber itu berkata, sebagai syarikat penerbangan
nasional, setiap tenaga pakar MAS ‘ada harga’ di pasaran industri penerbangan,
sama ada di dalam atau luar negara.
“Siapa nak kerja dengan MAS kalau ada syarikat yang
tawarkan gaji lebih RM30,000 sebulan bagi jurutera berpengalaman antara tujuh
hingga 10 tahun dan ada juga juruteknik yang ditawarkan RM8,000 sebulan
berbanding hanya RM3,000 di MAS,” katanya.
Ditanya sama ada tragedi MH370 memberi kesan terhadap
kakitangan syarikat itu, sumber itu berkata, ia menambah kesengsaraan mereka
kerana tentunya syarikat yang menanggung rugi RM1.7 bilion sebelum ini akan
berada dalam situasi lebih parah.
“Kalau bukan kerana MH370 pun semangat kerja kakitangan
MAS sudah luntur sejak tiga tahun ini,” katanya.
Menurut sumber itu lagi, jadual kerja kru kabin yang
membebankan memaksa mereka bekerja untuk tempoh lama termasuk melalui
penerbangan antarabangsa dan disambung dengan tugasan domestik sebelum
dibenarkan bercuti.
“Situasi ini menyebabkan kru kabin tertekan daripada segi
mental terutama apabila terpaksa berpisah lama dengan keluarga,” katanya.
0 Komen Anda "Krisis MAS: Hampir 300 Kru Kabin Letak Jawatan!"