SINGAPURA – Di sebalik kecanggihan perkhidmatan, syarikat penerbangan kebangsaan Singapore Airlines (SIA) hari ini terpaksa mengakui kesilapan sendiri apabila sistem tempahan tiket mereka menetapkan harga kelas perniagaan menjadi kelas ekonomi.
Dalam satu kenyataan di sini, SIA sebaliknya menarik balik keputusan awal sebelum itu yang meminta ratusan pelanggan terbabit membayar perbezaan harga jualan tiket atau menerima bayaran balik bayaran awal yang dibuat kerana ia tidak menyerap kos kesilapan itu.
“Demi memastikan tiada gangguan kepada rancangan pengembaraan para pelanggan kami, SIA ‘menganugerahkan’ kesemua tempahan tiket terbabit dan akan menghubungi pelanggan bagi memaklumkan harga rendah tersebut kekal sedemikian,” kata kenyataan itu.
Kira-kira 400 penumpang melibatkan segmen 1,200 penerbangan terlibat dalam kesilapan harga tiket kelas perniagaan menjadi kelas ekonomi apabila agen-agen pelancongan di Australia pada 29 November lalu menjual tiket terbabit kepada para pelanggan.
Kesilapan berlaku ekoran maklumat harga sebenar kelas perniagaan dimuat turun secara silap menerusi satu sistem tempahan global untuk agen-agen pelancongan di Australia sebelum ia disedari oleh pihak SIA dan kemudian segera diperbetulkan semula dua hari kemudian.
Media Australia akhir November lalu melaporkan, banyak tiket kelas bisnes yang lazimnya berharga S$6,615 (RM17,488) tiba-tiba dijual pada harga serendah S$3,860 (RM10,205) sekali gus menyebabkan ratusan pelanggan berebut-rebut membeli tiket SIA. – Agensi
0 Komen Anda "Tiket Kelas Bisnes Jadi Ekonomi"