Setelah hampir lima bulan mendalami agama Islam, bekas
model Playboy Felixia Yeap secara rasmi mengumumkan hasratnya memeluk Islam
pada 5 Ramadan, atau 3 Julai, yang akan datang. Jelitawan berusia 28 tahun itu berkata tarikh tersebut
dipilih kerana selain jatuh pada hari lahirnya, ia juga merupakan tarikh
kegemaran Rasulullah.
“Saya akan memeluk agama Islam pada 5 Ramadan, pada
Khamis ini. Saya memilih tarikh hari jadi saya, hari kegemaran nabi, maka saya
berharap ia menjadi hari paling bersejarah dan diingati dalam hidup saya,”
katanya di hadapan kira-kira 2,000 hadirin di Program Semarak Ramadan di Shah
Alam, malam tadi.
Sebelum ini, Felixia mengejutkan orang ramai dengan
keputusannya memakai tudung walaupun belum memeluk agama Islam. Dalam
pengakuannya secara eksklusif kepada The Malaysian Insider tahun lepas, beliau
mengakui begitu tertarik dengan pemakaian berlandaskan ajaran Islam.
Anak kelahiran Ipoh selepas itu mengakui akan hasratnya
memeluk Islam namun masih belum memutuskan waktu sesuai dan mahu mendalami
terlebih dahulu ajaran agama. Felixia ketika program malam tadi turut mengakui
perubahan dirinya yang berhijab kini menyebabkan disisih oleh rakan-rakannya.
“Bezanya adalah kawan-kawan saya dulu kebanyakan lari
menyisihkan saya. Mereka menyangka saya berhijab kerana ingin menjadi Melayu
tetapi sebenarnya saya tertarik dengan Islam,” katanya.
Sumber: TheMalaysian Insider
0 Komen Anda "Felixia Yeap Umum Peluk Islam 5 Ramadan Ini"